Guna alasan betulkan tali pinggang, jurulatih taekwando didakwa kes amang seksual terhadap 5 kanak-kanak

Seorang jurulatih taekwando mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak perempuan antara September dan Oktober lalu.

Ahmad Munir Zainuddin, 20, didakwa melakukan perbuatan terbabit ke atas kanak-kanak berusia antara tujuh tahun dan 11 tahun itu di sebuah dewan di Seksyen 24, Shah Alam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, selain boleh disebat jika sabit kesalahan.

Hakim Rasyihah Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Lelaki itu turut dikenakan syarat tambahan, iaitu melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilah Abd Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam ‘Adil Safwan Ahmad Shaffie.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengajar seni mempertahankan diri ditahan di sebuah pasar raya Shah Alam pada kira-kira pukul 4 petang, 2 November lalu.

Menerusi siasatan terhadap suspek yang juga penuntut kolej swasta, dia menggunakan alasan mahu membetulkan tali pinggang mangsa di dalam tandas sebelum melakukan jenayah seksual itu. – Harian Metro

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat