Golongan peniaga dan pengusaha pusat pelancongan di Langkawi perlu mengambil tindakan agresif bagi menarik perhatian pelancong tempatan dan luar ke pulau legenda popular itu.
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mempamerkan harga setiap makanan, barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan di tempat mudah dilihat agar pelancong tidak berasa tertipu dikenakan bayaran di luar jangkaan.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low Ah Keong, berkata, itu antara lima cadangan daripada pihaknya bagi memulih dan mengembalikan zaman kegemilangan pelancongan di Langkawi.
Menurutnya, pihak berkuasa juga perlu sentiasa berada di lapangan untuk memantau agar tiada peniaga yang berani mengenakan harga tinggi serta meraih keuntungan melampau sehingga menekan pengguna.
“Kemudahan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam mesti ditambah baik. Contohnya, pengoperasian feri sentiasa konsisten serta menepati waktu, sekiranya terdapat masalah teknikal, ia perlu diganti dengan plan B secepat mungkin.
“Ia bertujuan mengelakkan berlaku masalah kelewatan sehingga menyusahkan penumpang terutamanya bagi mereka yang membawa anak kecil.
“Usaha mempromosikan ini bukan sahaja untuk menarik minat pelancong domestik malah asing. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berkelayakan juga perlu dilantik segera,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Jelas Lawrence Low, semua pihak wajar berganding bahu untuk membaiki kelemahan dan kekurangan dengan mempergiatkan promosi serta memberi penerangan positif, seterusnya membawa kepada pemulihan agar zaman kegemilangan tersebut dapat dikembalikan.
Beliau berkata, isu berkaitan pelancongan di Langkawi harus dipandang serius dan diperbetulkan yang bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada penduduk tempatan, namun kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Baca lagi: