Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Iran, Ebrahim Raisi pada Sabtu.
Mesyuarat itu diadakan di luar sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin yang dihadiri oleh kedua-dua pemimpin.
Anwar berkata, dalam pertemuan itu beliau dan Raisi sebulat suara bersetuju agar kekejaman Israel terhadap Palestin perlu segera dihentikan.
“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta.
“Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan dan mahukan OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat,” katanya dalam muat naik di laman media sosial, pada Ahad.
Dalam pertemuan itu juga, Anwar berkata, Malaysia dan Iran menyatakan kesediaan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Tambahnya, Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam.
“Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.
“Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama,” katanya.
Pada tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran ialah sebanyak RM3.68 bilion (meningkat sebanyak 40.2 peratus dari tahun 2021) dan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan Malaysia dan Iran.
Baca juga: