Nasional

Lebih 18,000 pegawai, anggota tentera siap-siaga hadapi banjir menerusi ‘Op Murni’

Sejumlah 18,616 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga menerusi ‘Op Murni’ bagi menghadapi bencana banjir sekiranya diperlukan.

Tentera Darat Malaysia (TDM), dalam satu kenyataan, memaklumkan operasi itu akan dilaksanakan apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri, Daerah memerlukan ATM untuk membantu agensi kerajaan berkaitan dalam memberi bantuan kepada penduduk terjejas termasuk membaik pulih pelbagai kemudahan awam.

Menurut TDM skop penugasan ATM semasa berlakunya bencana termasuk menyediakan bantuan anggota di semua peringkat dan bantuan pengangkutan secara terhad bagi pergerakan di darat, udara dan laut.

“TDM menyediakan bantuan peralatan logistik seperti peralatan jentera, khidmat kepakaran seperti pakar letupan, kejuruteraan, perhubungan perubatan medan, pemindahan ketika bencana, bantuan penyelam bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Antara aset yang terlibat sebanyak 307 buah bot, jaket keselamatan (6,238), kenderaan satu tan (372), peralatan sokongan generator set (136), pesawat (26) dan empat paramedik bagi setiap pasukan akan ditubuhkan di setiap formasi Briged TDM,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Hospital Medan ATM Tahap Dua yang mempunyai kemudahan Dewan Bedah, Bius dan ICU dengan 112 staf terdiri daripada enam pakar perubatan, enam pegawai perubatan, 100 staf sokongan klinikal dan bukan klinikal akan diatur gerak sekiranya hospital kerajaan terputus hubungan.

“Selain itu, TDM menyediakan bantuan bagi program pemulihan dan pembangunan semula selepas bencana sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, ATM juga melantik Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai peneraju Op Murni membabitkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dan diberi kuasa Operational Command ke atas atur gerak anggota.

Menurut kenyataan itu, kesiap-siagaan ATM itu adalah kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara, Pihak Berkuasa Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“ATM sentiasa menzahirkan komitmen dan bersedia untuk membantu agensi kerajaan dan rakyat ketika menghadapi saat sukar berdepan bencana, tidak kira apa juga situasi yang dihadapi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara,” menurut kenyataan.

Baca lagi:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close