Nasional

Anwar ucap Selamat Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia beragama Hindu

Kerajaan Perpaduan akan terus berusaha memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat Hindu ditambah baik dan dilindungi.

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sempena perayaan Deepavali disambut rakyat Malaysia beragama Hindu pada hari ini.

“Kerajaan perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap,”
jelasnya.

Sementara itu menurut Perdana Menteri, perayaan Deepavali adalah satu daripada jalan dalam membangun Malaysia yang madani, hormat menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.

Justeru beliau meminta kejamakan (kelaziman) budaya di negara ini mesti terus dipertahan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap beserta nilai dan budi pekerti yang tinggi,” tegasnya.

Perdana Menteri turut menyertakan ungkapan dalam Thirukural yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu iaitu: “Kebahagiaan yang berpunca daripada etika atau tatakelola yang baik merupakan nikmat yang sebenar, dan kegembiraan berpunca daripada sikap yang tidak beretika adalah penderitaan atau tidak membawa kebahagiaan yang mampan”.

“Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close