Suri rumah ditemui mati dengan pisau terpacak di dada

Seorang suri rumah ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di dada dalam kejadian di sebuah perumahan mewah dekat Ayer Keroh, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang, apabila dihubungi pembantu perubatan Hospital Melaka, mengatakan ada seorang wanita ditemukan terlantar dalam tandas rumah dengan kesan tikaman.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis termasuk pasukan forensik kemudian ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat mangsa berusia 34 tahun itu yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara jam 2 hingga 3.30 petang. Ketika kejadian dalam kediaman itu hanya ada mangsa bersama anaknya yang berumur tujuh tahun serta ibu saudara kepada suaminya berusia 65 tahun.

“Manakala suami mangsa dikatakan tiada di rumah kerana bekerja di luar kawasan. Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan terlantar dan lengkap berpakaian.

“Malah siasatan lanjut menemui tiga kesan tikaman di dada kiri dengan panjang di antara dua hingga tiga sentimeter, selain ada sebilah pisau terpacak di dada kiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan dijalankan juga mendapati tiada kesan geledah dan berselerak di kediaman mangsa.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dijalankan mendapati tiada pergerakan keluar masuk ke rumah banglo dua tingkat itu melalui pintu hadapan dan belakang.

“Malah pemeriksaan di kawasan sekeliling dan di dalam rumah juga dapati tiada sebarang kesan geledah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mendapatkan punca kematian.

“Berdasarkan siasatan awal dijalankan, tiada unsur-unsur jenayah dikesan dalam insiden ini manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Berita Harian

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat