Mangsa banjir di Perak pada Selasa mencatatkan peningkatan apabila seramai 269 orang daripada 80 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.
Jumlah tersebut meningkat berbanding 227 orang daripada 66 keluarga yang direkodkan pukul 8 malam tadi di empat PPS di dua daerah.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat pukul 8 pagi menunjukkan, tiga PPS baharu dibuka masing-masing dua di daerah Kinta dan satu di Hulu Perak susulan hujan lebat berterusan lewat petang semalam.
Di Kinta, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta dibuka jam 8.30 malam tadi bagi menempatkan seramai 19 mangsa (enam keluarga) dari Kampung Sri Kinta.
Turut dibuka PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru Ipoh mula beroperasi jam 8 malam tadi dengan sejumlah empat mangsa (dua keluarga).
Di Hulu Perak, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik dibuka jam 8 malam tadi bagi memberi perlindungan kepada 24 orang (lapan keluarga) susulan banjir di Kampung Kolam Air, Kampung Bendang Kerajaan, Kampung Tanjung Kala, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Padang Kunyit, Kampung Padang dan Kampung Ramasamy.
Berdasarkan laporan itu lagi, Hilir Perak masih menjadi daerah paling terjejas dengan merekodkan 353 mangsa (112 keluarga) ditempatkan di tiga PPS, diikuti daerah Kerian yang merekodkan sejumlah 142 mangsa (41 keluarga) dipindahkan ke dua PPS, diikuti daerah Kerian mencatatkan pemindahan 80 orang (23 keluarga) di dua PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 3.81 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50m.
Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras amaran apabila merekodkan bacaan 14.08m (paras amaran bagi Sungai Kinta, 13.75m).
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.
Baca juga: