Gabungan eHailing Malaysia mendesak Kementerian Pengangkutan mengakui kelemahannya dalam mengawal selia industri e-hailing terutama membabitkan isu kadar upah yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Komen itu disuarakan Ketua Aktivisnya, Jose Rizal, susulan jawapan diberikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Parlimen mengenai isu kadar upah terlalu rendah dan tidak berbaloi kepada penggiat e-hailing.
Melaluinya jawapannya kepada soalan lisan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) pada Selasa (semalam), Loke berkata, penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dengan pengguna.
Menteri Pengangkutan itu berkata, sekiranya harga lantai ditetapkan, tambang ke atas pengguna juga mungkin meningkat dan pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan serta jumlah penawaran, menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, alasan di berikan Loke itu terlalu sinis, tidak serius dan seakan-akan tidak bertanggungjawab mengambil kira kedudukannya selaku menteri yang berkuasa dan mempunyai segala kemudahan dan kelengkapan data semasa.
“Jangan pula hendak di tutup kelemahan agensi dan jabatan dipertanggungjawabkan dengan kenyataan sedemikian.
“Berpijaklah di bumi nyata, turun ke lapangan sendiri dan dapatkan maklumat secara terus dari semua pihak, bukannya dengan hanya bergantung data berat sebelah yang hanya diperoleh dari pihak operator atau syarikat,” katanya.
Rizal juga menegaskan perkara berkenaan kadar upah yang tidak masuk akal dan tidak berpatutan adalah masalah sebenar dan bukannya dibuat-buat.
Malah, beliau menyifatkan Kementerian Pengangkutan sebagai lemah dalam memahami dan mengimbangi kehendak keseluruhan ekosistem industri baharu e-hailing.
“Hal ini telah beberapa kali pihak kami nyatakan dan sampaikan dalam beberapa siri serahan memorandum, resolusi dan persidangan, namun tidak ada pihak benar-benar ingin mengambil tanggungjawab secara holistik.
“Sebagai contoh, Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) terdiri dari penyedia perkhidmatan pengantaraan ini sepatutnya tidak boleh diberikan kepada sebuah agensi kecil seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang secara realitinya tidak mampu, tidak mempunyai kepakaran dan infrastruktur terkini di dalam mengawal selia teknologi aplikasi ini.
“Oleh yang demikian, kami desak Kementerian Pengangkutan mengakui kelemahan ini dan serahkan kuasa atau dasar tersebut kepada yang berkeupayaan dan benar-benar mempunyai kepakaran dan infrastruktur untuk mengawal selia industri e-hailing ini dan tidak lama lagi industri p-hailing,” katanya.
Beliau pada masa sama turut mendesak supaya diadakan persidangan meja bulat dengan kadar segera yang membabitkan keseluruhan pihak dalam rantaian ekosistem industri e-hailing dan p-hailing. – Berita Harian
Baca juga: