Malaysia berminat manfaatkan IPEF

Penglibatan aktif Malaysia dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) diterajui Amerika Syariat (AS) memaparkan komitmen terhadap usaha penyepaduan dan kerjasama ekonomi serantau.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai negara yang terletak atau berada pada kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia melihat IPEF sebagai satu platform utama.

“IPEF dapat meningkatkan perdagangan, memperkukuh rantaian bekalan, menggalakkan amalan lestari selain menyokong langkah-langkah antirasuah bersama negara-negara peserta yang lain,” katanya.

Kerajaan Malaysia turut berminat untuk memanfaatkan IPEF bukan sahaja bagi memajukan kepentingan ekonominya sendiri, tetapi turut memberi sumbangan besar kepada pembangunan tonggak utama dalam rangka kerja itu.

Pada masa sama, Malaysia turut menawarkan kapasiti hebat sebagai rakan yang boleh diyakini dari segi teknologi-teknologi utama.

Kata Anwar, ini terbukti menerusi keupayaan Malaysia sebagai lokasi penempatan atau tumpuan syarikat multinasional teknologi terkemuka, terutamanya dalam bidang elektronik dan semikonduktor sejak lebih 50 tahun lepas.

“Malaysia berperanan penting dalam industri teknologi global dengan membekalkan 25 peratus daripada komponen semikonduktor yang menjana permintaan teknologi AS,” kata beliau.

Dalam pada itu, sewaktu pandemik Covid-19, usaha pengeluaran trak pikap F-150 yang juga model ikonik Ford, turut bergantung kepada keputusan Malaysia untuk menyambung semula operasi perindustriannya.

Beliau juga berkongsi fakta lain yang mana separuh daripada keseluruhan bahagian sayap komposit pesawat Boeing dan Airbus yang dibuat di Malaysia.

“Kita juga menjadi pihak penting dalam rantaian bekalan teknologi perubatan dengan hampir 300 syarikat menggaji sebanyak 70,000 pekerja mahir,” kata beliau.

Selain itu, kata Perdana Menteri, syarikat-syarikat gergasi terkemuka seperti Intel, Infineon dan Amazon Web Services membuat pelaburan tambahan bernilai berbilion-bilion dalam usaha mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran masing-masing yang serba canggih di Malaysia.

Angka pelaburan asing yang diluluskan pada suku pertama 2023 melonjak 67 peratus tahun ke tahun dan mencecah lebih RM17 bilion.

“Malaysia gigih dalam usaha merebut peluang dan pada masa sama menyampaikan hasilnya – cara ini membolehkan Malaysia menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global membabitkan teknologi-teknologi kritikal,” kata beliau. – Bernama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat