PM yakin hubungan dua hala Malaysia, AS dapat kukuhkan ekonomi negara

Sejajar dengan usia Perkongsian Komprehensif Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang bakal memasuki tempoh sedekad menjelang 2024.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua negara ini merancang untuk merangka satu pelan praktikal pada 2023 bagi memperkukuh lagi kerjasama terbabit.

“Tahun depan genap 10 tahun sejak Malaysia dan AS meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014.

“Kita akan merangka pelan praktikal menjelang akhir tahun ini bagi mengenal pasti bagaimana perkongsian ini dapat diperkukuhkan lagi untuk manfaat rakyat kedua-dua negara dan rantau terbabit secara lebih meluas,” kata beliau ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” (Persaingan Negara Kuasa Besar dan Peningkatan Ketegangan di Asia Pasifik) di University of California, Berkeley, San Francisco pada Rabu.

Berkongsi pandangan dengan 250 penuntut yang menghadiri sesi itu, Perdana Menteri memberitahu, walaupun hubungan Malaysia-AS tidak mendapat perhatian sepertimana membabitkan China, Jepun atau pun Filipina, ia masih dianggap sebagai penting.

“Hubungan itu bukanlah satu pakatan mahu pun bersifat perbalahan dan ia dilihat seolah-olah ‘ditakdirkan’ untuk tidak menonjol atau jelas di mata ramai. Namun, berfikiran sedemikian sebaliknya boleh menjadi halangan kepada jalinan kerjasama serta sikap saling menghormati yang telah dibina oleh kedua-dua negara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia menganggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara.

Malah, beliau menegaskan bahawa pendirian itu bersandarkan penilaian objektif, rasional serta kemungkinan penilaian utilitarian mengenai cara terbaik untuk memenuhi keperluan Malaysia di pentas global.

“Biarlah fakta menjelaskannya – AS adalah antara pelabur asing terbesar Malaysia dengan nilai pelaburan yang diikrar pada tahun ini mencecah lebih AS$100 bilion (AS$1=RM4.72) dan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan digital. Jumlah itu mungkin lebih rendah memandangkan banyak firma AS yang bertindak menyalurkan pelaburan mereka menerusi anak-anak syarikat masing-masing di seluruh Asia dan Eropah.

Pada masa sama, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala negara ini adalah pasaran eksport ke-17 terbesar bagi AS,” kata beliau.

Selain itu, kerjasama pertahanan dan keselamatan turut menjadi tunjang penting dalam hubungan Malaysia-AS yang lebih meluas, kata Anwar.

“Malaysia menjalankan lebih banyak latihan ketenteraan dua hala dan pelbagai hala dengan AS berbanding dengan mana-mana rakan lain iaitu masing-masing sebanyak 11 latihan dua hala dan lima pelbagai hala setiap tahun.

“Ini membantu dari segi membina kapasiti serta kesiapsiagaan pasukan masing-masing. Bagi tempoh 2018 hingga 2022 misalnya, bantuan keselamatan AS adalah melebihi AS$220 juta yang menyediakan aspek seperti peralatan, latihan dan sokongan penting lain,” kata beliau.

Kedua-dua negara bersama-sama berusaha bagi meningkatkan keselamatan maritim dan memerangi ancaman transnasional seperti jenayah siber, keganasan, ekstremisme dan pengedaran dadah.

Kebimbangan terbabit melangkaui sempadan negara dan resolusinya, kata Perdana Menteri, memerlukan usaha kolaboratif yang memanfaatkan kapasiti secara kolektif.

Menyentuh ruang lingkup di luar hubungan keselamatan, beliau berkata Malaysia telah memainkan peranan sebagai rakan kongsi mantap untuk AS dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perubahan iklim, kesihatan awam selain usaha memperkasa kalangan masyarakat yang terpinggir.

Tidak setakat itu, ribuan pelajar Malaysia turut mendaftar di universiti-universiti AS setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan bertaraf dunia sebelum pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada pembangunan negara. – Bernama

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat