Wanita Umno sedia ‘redah’ banjir demi dahulukan bantuan rakyat bagi kempen PRK Kemaman

Gerak kerja kempen Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu akan disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat sekiranya berlaku banjir.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, segala perancangan dan langkah berjaga-jaga sudah diatur bagi menghadapi kemungkinan berlaku bencana itu ketika tempoh kempen PRK berlangsung.

“Persediaan ini amat penting memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut dijangka bermula pertengahan November dan berlanjutan hingga Mac tahun depan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Noraini berkata, pemilihan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN bagi PRK berkenaan membuktikan kepimpinan semua peringkat dalam gabungan itu memahami perubahan landskap politik semasa negara.

Katanya, sayap wanita parti berkenaan juga mengalu-alukan keputusan BN memilih bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu untuk mewakili BN dalam PRK Kemaman.

“Wanita Umno dan BN berharap pengundi di Parlimen Kemaman dapat memberikan sokongan dan kepercayaan kepada calon BN untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat,” ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan Che Alias Hamid, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian berlangsung pada 2 Disember manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 November ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat