Seramai 600 pelajar Palestin bakal menikmati pengecualian yuran pengajian di universiti awam di Malaysia selama setahun berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu, berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut akan mengadakan perbincangan dengan pihak universiti swasta bagi memberi pengeculian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka bagi tempoh setahun.
Menurutnya, terdapat lebih 800 pelajar Palestin yang sedang menuntut di Malaysia dengan lebih 200 pelajar adalah di universiti swasta dan selebihnya sedang menuntut di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam.
“Kita juga sedang mempertimbang untuk memberi elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar universiti awam dan universiti swasta (Palestin) dan kesemua ini (pengecualian yuran dan elaun bulanan) akan melibatkan kos kira-kira RM20 juta,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Global Higher Education Forum 2023 di sini hari ini, Mohamed Khaled berkata maklumat lanjut berhubung pengecualian yuran pengajian dan elaun bulanan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita akan umum dari segi jumlah yang sebenar dalam sedikit masa lagi, kita sudah di peringkat akhir,” katanya.
Beliau berkata KPT memberi perhatian terhadap kesan yang dihadapi oleh pelajar Palestin terbabit susulan daripada konflik di Gaza.
“Sudah tentu mereka antara yang terkesan secara langsung daripada apa yang berlaku di negara tersebut, maka kita sedar keadaan pembelajaran mungkin terputus dan mereka mungkin tidak lagi dapat sokongan pembiayaan daripada keluarga atau penaja,” katanya.
Baca juga: