Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim melahirkan rasa terkejut berkenaan isu pempengaruh, Zhiddin Aziz yang dinafikan kemenangannya semasa Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2023 dibawa ke Dewan Rakyat.
Menurutnya, ini disebabkan perkara itu bukannya berkepentingan awam pada masa ini dan ia telah dikendalikan oleh pihaknya.
“Malah untuk pengetahuan, hari ini (Rabu), di bangunan Parlimen ini, kalau saya nak jemput Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) pun boleh. Yang dimaksudkan itu (Zhiddin) pun akan datang ke sini (adakan) pertemuan dengan saya. Jadi, tidak ada masalah.
“Kalau mana-mana (Ahli Parlimen), Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) sekalipun yang telah membangkitkan perkara ini semalam itu pun nak datang jumpa, boleh jumpa. Nak selfie, nak buat video pun boleh, tidak ada masalah,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) mengenai mengapa isu APBN Peringkat Kebangsaan 2023 itu boleh berlaku dan bagaimana kerajaan untuk mengelakkan perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Sebelum ini, tular mengenai luhan Zhiddin di media sosial miliknya yang melahirkan rasa kesal dengan pembatalan kemenangannya bagi menerima anugerah dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Adam Adli.
Sekretariat APBN kemudian dilaporkan berkata, Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Adam Adli turut meminta agar isu seperti ini tidak dijadikan isu sensasi, sebaliknya ia boleh dirungkai menerusi pertemuan yang lebih matang.
“Dalam isu ini juga, kita juga telah mengeluarkan kenyataan media untuk menjawab isu berkaitan penularan isu tersebut. Saya harap mana-mana pihak yang menganggap ini sebagai satu bentuk penganiayaan dan sebagainya, itu bukan perkara yang menjadi tujuan dan matlamat APBN kali ini.
“Ia (APBN) adalah bertujuan untuk mengiktiraf golongan belia yang telah mencapai satu kejayaan yang sangat besar. Malangnya bagi kita dalam APBN kali ini, ada lebih 12 penerima anugerah, termasuk mereka yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Asia (tetapi) tidak diberi perhatian.
“Kita rasakan kerana terbawa-bawa oleh sensasi yang sedang berlaku terhadap hanya seorang individu,” katanya.
Baca juga: