DBKL keluarkan 34 notis kompaun premis makanan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 34 kompaun atas pelbagai kesalahan di sekitar ibu kota menerusi Operasi Sepadu Bersih.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, kompaun dikenakan atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979.

“Daripada 45 premis diperiksa, satu premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016.

“Masih isu sama berlaku. Pekerja tidak ambil suntikan tifoid, premis kotor, pengendalian bahan mentah tidak terurus, salah guna lorong belakang, terdapat haiwan dan serangga perosak dalam premis serta perangkap minyak tidak diselenggara,” katanya.

Kawasan yang terbabit adalah Pinacle Mall (Parlimen Seputeh), Jalan Sri Hartamas 7 dan 8 dan Medan Selera Jalan Duta (Parlimen Segambut), Jalan Mastiara (Parlimen Batu) dan Plaza Pantai (Parlimen Lembah Pantai).

Operasi yang dijalankan semalam ini membabitkan usaha sama 38 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

“Demi kemaslahatan semua, janganlah tunggu sampai petugas DBKL datang baru nak dibersihkan. Kalau premis ditutup ia akan menjejaskan periuk nasi peniaga,” kata kenyataan itu.

Baca juga: