Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, kerana mengaitkan beliau dengan komunis dan ada hubungan keluarga dengan isteri Lim Guan Eng.
Teresa berkata beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura berhubung kes itu.
Menurutnya, pada 10 November, beliau melalui peguam telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Siti Mastura, untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya.
“Saya minta dia menarik balik kenyataannya. Saya beri dia tiga hari dan telah sertakan surat tuntutan.
“Sampai hari ini saya masih tidak terima apa-apa surat mohon maaf tentang kenyataan yang dibuat itu. Jadi saya telah arahkan peguam untuk ambil tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.
Melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, dirakam mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng ada hubungan keluarga dengan Teresa.
Beliau turut mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.
Dilaporkan, Guan Eng telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura tersebut.
Mengulas lanjut, Teresa juga melahirkan rasa hairannya mengenai tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
“Saya agak hairan, biasanya kita nak lemparkan tuduhan kepada sesiapa, kita perlu tunjukkan bukti.
“Kena tunjukkan bukti DNA saya dan juga isteri Lim Guan Eng, Chin Peng atau sesiapa (mempunyai kaitan kekeluargaan). Tetapi dia kata (semasa sidang media dipanggil polis) beri bahan rujukan kepada polis,” katanya. – Berita Harian
Baca juga: