Sukan

Faisal Halim jadi ‘hero’ saat akhir

Kebangkitan luar biasa skuad Harimau Malaya di babak kedua menyaksikan anak buah Kim Pan-gon berjaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi (Khamis).

Pemain sayap negara, Faisal Halim muncul wira apabila jaringan masa kecederaannya membolehkan skuad kebangsaan merakam kemenangan selepas ketinggalan dua gol.

Malah, pujian juga perlu diberikan kepada pengendali Malaysia, Kim Pan-gon yang berani mengubah taktikal di pertengahan babak kedua sebelum kebangkitan dramatik dilakukan pemain negara.

Skuad negara bangkit selepas tumbang 0-2 di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka bulan lalu menyenaraikan semula Shahrul Saad dalam kesebelasan utama selepas diketepikan sebelum ini.

Malaysia yang menghuni tangga ke-137 dunia memulakan aksi dengan sempurna apabila mendahului menerusi tandukan Dion Cools pada minit keenam selepas menyambut sepakan sudut Arif Aiman Hanapi.

Pasukan negara terus menguasai aksi dengan beberapa percubaan termasuk rembatan leret Arif Aiman yang sedikit tersasar di minit 21.

Shahrul turut mencuba pada minit 25 menerusi satu rembatan jarak jauh bak ‘roket’ yang sedikit tinggi melewati palang gol.

Pertahanan negara yang jarang diuji akhirnya dirobek dengan dua gol pelawat hanya dalam tempoh lima minit terakhir babak pertama.

Gol pertama skuad kendalian Stefan Tarkovic diraih menerusi Zhyrgalbek Kairat yang tenang menolak masuk menewaskan Syihan Hazmi yang sebelum itu menepis dua percubaan dalam kotak penalti.

Tiga minit kemudian lawan yang berada di kedudukan 97 dunia mendahului hasil percubaan leret Batyrkanov Erniest yang sama sekali gagal dihalang Syahmi, sekali gus memberi tekanan buat kem negara.

Bersambung babak kedua, Kyrgyzstan mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga selepas Corbin Ong membuat kesilapan di kawasan tengah sebelum serangan balas pantas dilakukan dan pemain gantian Merk Kai mencetak nama selaku penjaring.

Ketinggalan dua gol menyaksikan Pan-gon terpaksa merombak taktikal dengan bermain empat pertahanan dibelakang dengan memasukkan Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Akhyar Rashid.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila kebangkitan luar biasa dipamerkan bermula dengan jaringan sendiri Khristiin Brauzman di minit 71 selepas diasak Arif Aiman.

Cools nyata menjadi duri dalam daging buat Kyrgyzstan apabila menanduk gol penyamaan pada minit 77 sekali gus menyemarakkan semangat pemain negara.

Ketika aksi seakan berakhir dengan keputusan seri, Faisal muncul penyelamat apabila ledakannya pada masa kecederaan memastikan Malaysia menggenggam tiga mata penuh sekali gus membuka langkah kanan. – Harian Metro

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close