Malaysia setuju memudahkan permintaan Presiden Peru – Anwar

Malaysia akan mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru bagi membantu memudah cara pensijilan halal bagi produk, memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hasrat tersebut diluahkan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Boluarte di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di sini, pada Khamis

“Saya bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru itu secepat mungkin,” kata Anwar.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Boluarte menjemputnya melawat Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan Peru.

Presiden Peru itu turut mempelawa perniagaan Malaysia untuk melawat dan melabur di Peru, katanya.

Anwar juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru, baru-baru ini.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2023/11/14/apec-2023-pm-anwar-fokus-bina-daya-tahan-ekonomi-serantau/