Nasional

PDRM masih kumpul maklumat ancaman kepada Malaysia ekoran sokong Palestin

Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul maklumat kewujudan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara, susulan kelantangan suara Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya sentiasa bersiap-siaga, walaupun tidak ada sebarang ancaman secara langsung diterima oleh mana-mana pihak, buat masa ini.

“Buat masa ini tidak ada ugutan secara ‘direct’ (terus), tetapi kita masih mengumpulkan (maklumat) risikan. Setakat ini, semua (keselamatan) berada pada tahap sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Bilangan 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Jumaat.

BH sebelum ini melaporkan PDRM akan mengumpul maklumat sekiranya terdapat aktiviti membabitkan ejen perisikan Mossad di negara ini ekoran timbul ugutan terhadap Perdana Menteri yang menyatakan sokongan kepada Gaza dan Palestin.

Razarudin dilaporkan berkata polis melalui pasukan risikan akan mengumpul maklumat sebanyak mungkin berkaitan perkara itu.

Ia katanya, termasuk isu ejen Mossad, sabotaj ekonomi atau ejen pengintipan.

Pada 24 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Sementara itu, pada majlis hari ini, seramai 438 kadet Inspektor Pelatih tamat latihan pada hari ini membabitkan 435 lelaki dan 103 wanita selepas selepas menjalani PLAK selama sembilan bulan sejak 19 Februari lalu.

Pada majlis itu, Inspektor Khairul Anwar Khalid, 26 diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, manakala Inspektor Nurul Nadhirah Muhamad Radzi muncul sebagai Pelatih Terbaik Akademik sementara Inspektor Muhammad Amir Faris Basri dan Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli masing-masing dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar lelaki dan wanita

Razarudin berkata, beliau mengharapkan semua pelatih yang tamat latihan pada hari ini akan menjadi seorang pegawai polis yang berintegriti pada masa hadapan.

“Pertama sekali adalah berkenaan integriti, berkhidmat lebih baik. Kalau ada integriti dan usaha yang baik secara automatik ia akan mendokong dasar-dasar kerajaan terutamanya kepada kesejahteraan masyarakat.

“Itu pesanan saya kepada pelatih-pelatih ini. Sebenarnya bukan kepada pelatih-pelatih sahaja, malah pegawai polis yang sedang berkhidmat dalam pasukan,” katanya. – Berita Harian

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close