Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris akan memberi keterangan berhubung tuduhan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Ahad ini.
Razali berkata, beliau akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat SPRM, Rabu lalu.
“Saya akan beri kerjasama. Saya akan ke IPD Kemaman Ahad ini bagi memberi keterangan. Saya akan bawa dokumen dan hujah saya,” katanya.
Dalam kenyataan yang dibuat SPRM Rabu lalu, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu terhadap SPRM dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera PRK Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.
Razali didakwa mengeluarkan tuduhan itu dengan menyatakan jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.
SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.
Katanya, SPRM sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas serta profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak. – Berita Harian
Baca juga: