Nasional

Ketua Hakim Negara nasihat jangan keluar kenyataan menghasut isu enakmen syariah Kelantan

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada Isnin mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghasut.

Tengku Maimun memberikan ingatan itu ketika mempengerusikan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan pada pendengan petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Terdahulu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pempetisyen, membawa perhatian mahkamah terhadap kenyataan yang dibuat oleh peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, mengenai isu dalam pendengaran berkenaan.

Tengku Maimun kemudian bertanyakan kepada Yusfarizal sama ada beliau membuat kenyataan terbabit.

Tengku Maimun berkata, kenyataan yang dibuat oleh di luar mahkamah adalah kenyataan yang mengelirukan dan diputar-belit.

Katanya, isu dalam pendengaran petisyen berkenaan adalah bukan mengenai melemahkan agama Islam dan mahkamah syariah, tetapi ia adalah berhubung isu kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.

“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan Mahkamah Syariah.

“Banyak pihak yang membicarakan mengenai kes ini di luar dan kenyataan yang dibuat adalah mengelirukan.

“Kami ingin mengingatkan peguam untuk tidak membincangkan mengenai kes ini di khalayak umum…Kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di negara ini adalah tidak betul.

“Oleh itu kami mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak memainkan isu yang bersifat menghasut orang ramai,” katanya ujar Tengku Maimun ketika memulakan sidang mendengar petisyen itu.

Petisyen terbabit difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman, terhadap Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Pendengaran bersambung dengan mendengar hujahan amicus curiae atau sahabat mahkamah, yang merujuk kepada seseorang atau kumpulan yang bukan pihak dalam sesuatu tindakan undang-undang, tetapi mempunyai kepentingan yang dibawa. – Berita Harian

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close