Lelaki hilang dua hari di kawasan hutan Sabah ditemui maut

Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Hutan Mosung dekat Kampung Monsok Tengah, Tambunan, Sabah telah ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat.

Maklumat awal yang dilaporkan, mangsa telah pergi ke hutan tersebut untuk melakukan aktiviti menjerat haiwan.

Pengadu iaitu abang kepada mangsa menyedari mangsa dikhuatiri hilang pada jam 9.00 pagi, 17 November 2023, selepas menemui motosikal milik mangsa di dalam hutan.

Selepas usaha mencari di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang masih gagal, satu laporan telah dibuat oleh pengadu ke Balai Polis Tambunan pada 18 November 2023 sebelum pihak polis memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan pada jam 10.45 malam untuk mendapatkan bantuan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama dua hari yang turut dibantu oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Mangsa akhirnya dijumpai oleh Pasukan penyelamat pada jam 10:28 pagi semalam di hutan tersebut lebih kurang tiga kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Pasukan penyelamat bertindak membawa keluar mangsa dari hutan ke PKTK dan seterusnya menyerahkan mayat mangsa kepada Pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Anda Mungkin Berminat