Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor 2 petang pada Isnin.
Beliau hadir untuk memberi keterangan berhubung video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular selain dilaporkan disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mohammad Agus tiba di IPD Kajang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan ditemani peguam, Faizal Abd Rahman.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Mohammad Agus dijangka hadir di IPD Kajang untuk dirakam percakapan berhubung kes tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani pula akan dipanggil untuk dirakam keterangan.
Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa individu lain juga dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan kes terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus.
Rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Susulan itu, Mohammad Agus meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Dakwanya, tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan individu tertentu dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.
Abdul Wahab dilapor berkata, rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab. – Harian Metro
Baca juga: