Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya membentuk kerjasama dengan banyak pihak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu demi melakukan perubahan kepada negara.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung jalinan hubungan yang dilakukan itu.
“PAS bekerjasama dengan semua pihak untuk membuat perubahan,” katanya ringkas pada sidang akhbar Program Bicara Khas Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sempena penyerahan Dana Aid4Palestine di Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Abdul Hadi berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad bahawa sokongan rakyat terhadap PAS sudah ‘tepu’ sebelum bergabung dengan parti itu bawah Perikatan Nasional (PN) yang melonjak kedudukannya pada PRU15.
Mengambil contoh situasi sebelum PRU15 pada November tahun lalu, Pengerusi PN itu berkata, Pas yang bergerak solo tidak merekodkan jumlah kemenangan majoriti besar dinikmati kini selain menang empat negeri dan hampir menawan Selangor.
“Pas, Bersatu dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melihat ini sebagai satu kekuatan. Mereka tak boleh bersendirian, tetapi kesannya tak sebegini (menang besar), contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi tetapi (presiden Pas) Hadi (Awang) contohnya sampai 40,000 undi.
“Dia (Pas) dah sampai tahap tepu, tetapi dengan gabungan PN penerimaan rakyat begitu besar sekali sehingga catat majoriti luar biasa,” ujarnya.
PAS di bawah PN menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15 sekali gus menjadi pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai ‘gelombang hijau’ kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.
PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN). – Sinar Harian
Baca juga: