Nasional

Polis sahkan ambil keterangan Che’gu Bard, Agus bagi bantu siasatan kes video tular

Polis mengesahkan pihaknya mengambil keterangan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard berhubung penularan video tular terkait Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya juga sudah memanggil Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu untuk menyambung rakaman percakapan.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan termasuk membuat penularan semula rakaman video tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pengguna media sosial yang menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya juga sudah memanggil Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris bagi dirakam percakapan.

Menurutnya, proses rakaman percakapan itu dilakukan di Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu, Isnin di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan ini berhubung kenyataan bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan dengan menyifatkan keputusan oleh Institusi Kehakiman dikawal oleh kerajaan.

“Kenyataan berkenaan dipercayai dibuat ketika majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil di Kemaman, Terengganu pada 10 November lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat oleh USJT, Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan perkara 145 (3) perlembagaan persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close