“Tolong jangan tuduh orang yang tak buat salah…” – Ayu nafi Maria Farida punca salah faham dengan ibu

Anak kepada penyanyi Nourul Wahab Depp, iaitu Ayu Nazirah menjelaskan pelakon Datin Seri Maria Farida bukanlah penyebab perselisihan faham antara dia dan ibunya.

Ayu menafikan dakwaan itu selain meminta agar Maria yang juga ibu kepada kekasihnya, tidak dipersalahkan selain dituduh sebagai punca hubungan dengan Nourul bermasalah.

Ayu berkata, dia berbuat demikian kerana bimbang akan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang nak saya perbetulkan, Datin Seri Maria Farida bukanlah punca apa yang terjadi antara saya dan ibu. Apa yang berlaku antara kami dan harap semua orang dapat hormati.

“Jadi, tolong jangan tuduh orang yang tak buat salah yang melayani saya dengan baik dan hentikan menyebar perkara tidak benar,” kata Ayu dalam video yang dimuat naik di Instagram.

Pada masa sama, Ayu turut memberitahu dia sudah berhubung dan memohon maaf dengan ibunya.

“Ya, saya ada bergaduh dengan ibu dan saya sudah pun memohon maaf. Saya dengan ibu juga sudah berbaik, jadi harap semua dapat hormati kehidupan peribadi saya.

“Harap semua ini dapat dihentikan. Semuanya baik-baik sahaja dan saya tak nak hidup saya dijadikan bahan hiburan,” katanya lagi.

Sebelum ini, penyanyi dan komposer, Ajai yang juga bapa Ayu memaklumkan anaknya dan bekas isteri sudah menyelesaikan perselisihan faham antara mereka dengan cara baik.

Bahkan, Ajai turut berpendapat situasi itu sebagai satu perkara biasa yang kadangkala berlaku dalam hubungan kekeluargaan.

Difahamkan, dakwaan hubungan anak- beranak itu sedang dalam masalah berpunca selepas Nourul meluahkan peraasan seperti terasa hati apabila mendakwa dirinya dipinggirkan selepas anaknya mempunyai ibu baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat