“75,000 penonton dijangka ke konsert Coldplay…” – Polis larang cetus provokasi di SNBJ

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert kumpulan rock Coldplay: Music Of The Spheres World Tour yang dijadual berlangsung esok di Stadium Bukit Jalil.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan.

Beliau berkata 75,000 penonton dijangka hadir ke konsert itu dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin, pemeriksaan badan, beg dan barangan akan dilakukan di pintu masuk yang dibuka jam 6 petang oleh polis bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa masuk.

“Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank dan botol air.

“Pengunjung turut dilarang membawa masuk pemetik api, rokok dan rokok elektronik, pembesar suara dan menerbangkan dron,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zam Halim berkata pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Orang ramai juga dinasihati mematuhi arahan anggota polis yang bertugas, mengamalkan sikap tolak ansur dan bersabar ketika memandu di sekitar stadium berkenaan,” katanya. – Bernama

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat