Kerajaan lantik MIMOS sebagai agensi pelaksana program Identiti Digital Nasional, terima RM80 juta

Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D), Mimos Berhad (Mimos).

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, ia bagi membangunkan Identiti Digital Nasional atau Digital ID dan penyaluran peruntukan itu disegerakan bagi memastikan negara ketinggalan dalam pembangunan transformasi digital.

“Kita agak ketinggalan dalam beberapa bidang padahal kita ada keupayaan, ada kemahiran dan kepakaran, jadi, ada keperluan segerakan peruntukan. Untuk mempercepatkan proses itu, kita segerakan dan melihat program pelaksanaan itu diawalkan.

“Saya mendapat jaminan bahawa ia dapat disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan untuk membeli server scan. Jadi, saya dah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri menyalurkan RM80 juta minggu depan,” katanya pada lawatan rasmi di Mimos Bhd.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.

Ia tidak akan menggantikan MyKad sedia ada sebaliknya hanya memperkukuh keselamatan MyKad bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.

Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasanya.

“Pendaftaran ID Digital harus disegerakan. Minggu depan, semua kementerian dan jabatan kerajaan, Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan ketua jabatan harus memulakan pendaftaran.

“Kalau mahu peruntukan, subsidi bersasar atau kemudahan lain, sama ada jabatan atau pihak swasta, ia mesti bermula dengan pendaftaran ID Digital. Peruntukan yang besar RM80 juta, ini permulaan sahaja, akan ada peruntukan lain,” tambahnya yang juga menteri kewangan.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat