Negeri

Beri ruang pelajar berfikiran kreatif sebagai persediaan realiti kehidupan

Guru perlu mengizinkan pelajar untuk berfikiran kreatif bagi membolehkan anak didik mereka mencabar kelaziman, titah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, selaku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Titah baginda, guru juga perlu menyerlahkan anak didik dengan pelbagai realiti kehidupan dan persiapkan mereka dengan pendidikan yang berteraskan realiti kehidupan.

“Dalam kembara pencarian ilmu, kita pastinya sedar bahawa ilmu dipertemukan melalui bimbingan insan yang menjiwai sifat guru yang sejati.

Guru yang sejati mempunyai roh, semangat dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya.

“Guru yang sejati bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajarannya, malah memiliki sifat pendidik yang semula jadi lagi berhemah, serta disanjung, dihormati dan dikasihi oleh para murid begitu juga masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Tanjung Malim, pada Rabu.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW adalah teladan seorang pendidik yang wajib dijadikan contoh.

“Baginda mendidik insan dengan roh, jiwa dan ihsan, mempamerkan sifat-sifat gigih, tekun lagi bersungguh dalam usaha mengilmukan insan dengan penuh sabar dan kasih sayang.

“Sebagai pendidik, belajarlah mendidik dengan mengambil iktibar daripada peribadi keinsanan dan keihsanan Baginda Rasulullah SAW,” tambah baginda.

Dalam masa sama, titah Tuanku Zara, kedua-dua ibu dan bapa adalah suri pendidik yang terhebat dalam kehidupan.

“Ibu dan bapa merupakan insan budiman yang mendidik kita sejak dilahirkan dengan limpahan kasih dan belaian sayang tanpa merasa lelah.

“Ibu dan bapa senantiasa meletakkan segunung harapan, berusaha dan berikhtiar sambil berdoa agar masa hadapan anak-anak bersinar seumpama bintang di langit malam,” titah baginda.

Konvokesyen UPSI kali ke-25 akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 orang graduan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 121 merupakan graduan Ijazah Kedoktoran, 1,487 graduan Ijazah Sarjana, 4,240 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 1,768 graduan Diploma Lanjutan dan Diploma. – Awani

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close