Nasional

Pengusaha taska usah khuatir laksana SOP baharu – Nancy Shukri

Prosedur operasi standard (SOP) untuk mewajibkan operator taman asuhan kanak-kanak (Taska) menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir ke premis itu tidak akan mengheret pihak berkenaan dalam sebarang tindakan sekiranya berlaku sebarang kecuaian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP berkenaan bagi membantu mengelakkan sebarang kes seperti kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kereta seperti sebelum ini.

Menurutnya, tiada tindakan undang-undang yang akan dikenakan sebaliknya prosedur tambahan itu sebagai inisiatif untuk semua pihak memainkan peranan dalam menjaga keselamatan kanak-kanak.

“(Pihak taska) perlu bertindak dengan bertanya kalau anak terbabit tidak datang ke taska dalam masa (lama). Biasanya (kanak-kanak itu) datang jam 9 atau 8 pagi, (tetapi) dalam masa 45 minit belum sampai, jadi perlu tanya (pada waris).

“Kita tidak mengatakan mahu mengambil tindakan (jika pihak itu gagal berbuat demikian), janganlah takut. Ia untuk mengetatkan (SOP) selain menghubungi ibu bapa (diberikan) juga nombor kecemasan supaya orang ketiga boleh membantu untuk mencegah kejadian seumpama itu,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas wawancara program Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendakwaan kes kematian kanak-kanak di dalam kereta membabitkan kecuaian dan pengabaian, beliau berkata, perkara berkenaan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa dan Peguam Negara (AG).

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan sebagai rujukan, namun setakat ini belum ada pendakwaan membabitkan kes seumpama itu.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewajibkan operator taska menghubungi ibu bapa jika anak mereka tidak hadir bagi mengelakkan kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kereta.

Nancy dilaporkan berkata, SOP berkenaan perlu dikemas kini susulan beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini selepas penjaga terlupa menurunkan anak mereka di taska dan meninggalkan mereka di dalam kereta. – Harian Metro

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close