Nasional

Beri Anwar 3,4 tahun tunai janji pilihan raya – Kit Siang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi tempoh tiga ke empat tahun sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebelum penilaian prestasi pentadbirannya dibuat bagi menentukan sama ada beliau berjaya atau tidak dalam mengemudi kerajaan.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, ini termasuk komitmen pentadbiran Anwar dalam melunaskan janji pilihan rayanya.

“Terdapat banyak kritikan yang mengatakan Anwar belum memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

“Tetapi saya ingin menggesa rakyat Malaysia memberikan Anwar tiga ke empat tahun sehingga PRU ke-16 sebelum menilai sama ada Anwar berjaya atau gagal untuk memenuhi janji-janji pilihan rayanya,” katanya.

Beliau mendakwa, ramai pihak termasuk pemimpin pembangkang tidak menyangka bahawa Anwar akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga setahun.

“Ramai orang, terutamanya para pemimpin Bersatu dan PAS seperti (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, tidak menjangkakan yang Anwar akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga setahun.

“Apabila anda perlu bersaing demi kehidupan politik anda, keutamaan yang berbeza mula muncul kelihatan. Tetapi apabila adanya kestabilan politik dan Anwar tidak perlu sentiasa bimbang untuk tidak ditumbangkan, jangkaan untuk dia memenuhi janji-janji pilihan rayanya mula meningkat,” katanya.

Berbeza dengan situasi sebelum ini, dimana beliau berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bekas Perdana Menteri itu memimpin kerajaan pada 2019, menggesa Pakatan Harapan (PH) serius dengan janji pilihan raya.

“Sebanyak tiga kali dan pada 2019, saya beritahu Mahathir yang kerajaan PH perlu serius dengan janji pilihan rayanya dan saya dikejutkan dengan kenyataan Mahathir yang mengatakan janji pilihan raya ini bukanlah satu kitab suci.

“Dia bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyemak pelaksanaan janji-janji pilihan raya, yang akhir disia-siakan selepas berlakunya konspirasi politik Langkah Sheraton yang sudah menumbangkan kerajaan PH yang berusia hanya 22 bulan,” katanya.

Hari ini, genap tempoh setahun Anwar memimpin negara dengan gagasan Malaysia Madani diperkenal beliau untuk membina halatuju serta memandu negara ke tahap lebih berjaya dan maju. – Harian Metro

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close