Kerajaan sedang mengkaji cadangan mewajibkan semua platform penstriman yang beroperasi di Malaysia supaya memperuntukkan sejumlah kandungan kepada produksi tempatan.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu wajar selepas melihat beberapa negara luar lain turut melaksanakan polisi yang sama.
“Saya nampak sekarang aliran penyampaian kandungan digital kreatif lebih menjurus ke arah penstriman.
“Kalau beberapa negara lain termasuk Australia, mereka menetapkan sejumlah peratusan kandungan yang dihasilkan perlu pembabitan produksi tempatan dalam mana-mana platform penstriman.
“Asasnya, kami mahu membuka lebih banyak peluang kepada penerbit tempatan menghasilkan karya berkualiti sebagai tontonan rakyat Malaysia.
“Kami nampak jumlah peruntukan besar yang platform ini sediakan, kualiti kandungan dihasilkan juga akan menjadi lebih bagus,” katanya.
Tambah Fahmi, satu pertemuan dengan pihak berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.
“Setakat ini, kami belum ada apa-apa butiran seperti jumlah peratusan kandungan yang ditetapkan.
“Kami sedang meneliti dan dalam masa terdekat, kami akan mengundang pihak terbabit untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.
“Kita nampak memang ada banyak platform penstriman di negara ini antaranya Viu, Netflix, HBO Go, Disney+ Hotstar termasuk yang dikhususkan untuk satu golongan seperti Nurflox yang program bercorak keislaman.
“Kerajaan kena faham terlebih dahulu seluruh ekosistem penstriman dan lihat peluang yang akan dihasilkan.
“Untuk saluran Viu dan Netflix, kita tahu turut memberi peluang kepada penerbit tempatan menghasilkan karya, mungkin jumlah peruntukan dapat ditambah pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi berharap cadangan itu dapat dilihat dari sudut positif oleh saluran penstriman.
“Saya harap pihak terbabit memahami bila mereka dapat keuntungan dengan langganan rakyat Malaysia, jadi dengan menerbitkan karya hasil produksi tempatan menjadi salah satu cara membalas kepada Malaysia,” katanya.
Fahmi ditemui selepas merasmikan Bengkel Latihan Penerbit & Peluang Bisnes dan melancarkan Tabung Kebajikan anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Hulu Kelang, di sini, pagi tadi.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, Ahli Perbadanan FINAS merangkap Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, pemimpin persatuan seni dan penggiat industri seni kreatif daripada pelbagai bidang.
Bengkel tiga hari bermula Selasa lalu itu memberi pendedahan kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan mengenai peluang perniagaan di stesen penyiaran. – Berita Harian
Baca juga: