Sukan

PSM beri jaminan padang Stadium Nasional boleh diguna bagi final Piala Malaysia

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi berkata susulan kerosakan yang berlaku selepas konsert Coldplay Rabu lalu, pihaknya akan melakukan kerja-kerja membaik pulih pada kadar segera seperti yang dilakukan ketika final Pestabola Merdeka 2023 sebelum ini.

“Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” katanya.

Terdahulu, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional memuat naik gambar keadaan permukaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu yang kelihatan terjejas di beberapa bahagian menerusi laman Instagram Story baginda.

Meskipun Tunku Ismail memuat naik gambar berkenaan tanpa sebarang kapsyen, pengguna media sosial rata-rata meluahkan kekesalan dan ketidakpuasan hati melihat keadaan permukaan padang itu.

Rabu lalu, kira-kira 85,000 peminat muzik membanjiri Stadium Nasional bersempena konsert Coldplay, sebuah kumpulan rock British.

Permukaan padang Stadium Nasional menjadi buah mulut orang ramai susulan keadaan yang tidak memuaskan ketika aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India, bulan lalu. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close