Nasional

Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Pelbagai perkhidmatan, barangan ditawarkan bermula 8 hingga 10 Disember

Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan tawaran barangan disediakan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember depan.

Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Ahmad Jefry Aziz @ Adan berkata antara perkhidmatan bertujuan menangani kemiskinan rakyat bakal disediakan pada program tiga hari itu ialah penawaran rumah mampu milik, pendaftaran bantuan eKasih dan Jualan Mega Madani.

“Jualan Mega Madani menawarkan diskaun hingga 70 peratus bagi pelbagai barangan keperluan harian melalui Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan Jualan Koperasi Madani.

“Sebanyak 183 Usahawan Madani juga akan menyediakan perkhidmatan dan barangan berasaskan pertanian, kraf tangan, kesihatan dan hospitaliti,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan menerusi TV1 hari ini.

Beliau berkata orang ramai juga boleh mendapatkan peluang pekerjaan disediakan 70 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dengan menyertai karnival kerjaya yang dianjurkan Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada program itu nanti.

Ahmad Jefry berkata pelbagai saringan kesihatan turut disediakan secara percuma antaranya saringan kesihatan mata, kanser, sistem produktiviti dan mamogram.

Beliau berkata kesemua perkhidmatan dan penawaran itu ialah sebahagian daripada fokus komponen penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selain Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

“Saya menjemput semua untuk hadir melihat sendiri pencapaian dan program yang telah dilaksanakan kerajaan sepanjang tahun ini.

“Ini juga peluang terbaik kepada rakyat untuk bersama-sama kementerian dan agensi dalam mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jefry berkata beberapa menteri dijadual menyampaikan advokasi mengenai inisiatif kementerian masing-masing antaranya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Kemuncak pogram itu ialah majlis penutup yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Dis. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close