KDN rampas lapan buku disyaki mengandungi unsur komunisme

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan buku disyaki mengandung unsur komunisme dalam pemeriksaan di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis

Menerusi kenyataannya hari ini, KDN memaklumkan, tindakan itu dijalankan melalui Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PK) selepas menerima maklumat berkaitan penjualan bahan terbabit di premis Gerak Budaya Enterprise.

“Penguat kuasa KDN menjalankan pemeriksaan dan menahan lapan naskhah penerbitan kerana disyaki mengandungi elemen hasil penerbitan tidak diingini berdasarkan peruntukan mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

“Tindakan penahanan penerbitan berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 18 AMCP 1984 yang membolehkan Penguatkuasa KDN, menahan apa hasil penerbitan yang disyaki menyalahi undang-undang untuk tujuan kajian lanjut,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan, KDN komited menjalankan tanggungjawab mengawal selia penerbitan di dalam negara, khususnya penerbitan yang disyaki mengandungi elemen tidak diingini.

“Elemen ini mengganggu gugat ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan dan menggemparkan pemikiran orang ramai.

“Selain itu, ia berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa sama, KDN meminta orang ramai memberikan kerjasama kepada kementerian berkenaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini.

Maklumat itu boleh disalurkan dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau 03-8889 3145, menerusi emel ke aduanpk@moha.gov.my atau melalui laman web www.moha.gov.my. 

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2023/11/11/dakwaan-sepupu-sepapat-siti-mastura-bimbang-wujudkan-ketakutan-dalam-kalangan-orang-cina/

Anda Mungkin Berminat