Ratu Cantik Nicaragua, Sheynnis Palacios dinobat sebagai pemenang Miss Universe 2023 dalam pertandingan Miss Universe kali ke-72 di El Salvador baru-baru ini.
Peragawati berdarah kacukan Thailand-Denmark, Anntonia Porsild dan model Australia, Moraya Wilson masing-masing berakhir di tangga kedua dan ketiga.
Anntonia, 27, adalah teman wanita pemain bola sepak Singapura, Irfan Fandi, anak sulung kepada legenda negara republik itu Fandi Ahmad.
Irfan, 26, menggunakan laman InstaStory untuk mengucapkan mesej penuh cinta kepada Anntonia untuk meraikan kejayaannya.
“Tiada kata-kata boleh menggambarkan betapa bangganya saya terhadap awak! Awak amat menakjubkan. Ratu hatiku! Saya cinta awak,” tulisnya di samping gambar teman wanitanya.
Anntonia turut membuat hantaran di Instagram untuk melahirkan rasa terima kasihnya atas sokongan yang diterimanya sepanjang pertandingan itu.
“Saya memberikan segala-galanya di atas pentas malam ini untuk Thailand, untuk semua orang yang percaya kepada saya dan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Saya minta maaf kerana tidak dapat membawa pulang mahkota itu dan saya amat berterima kasih atas semua kasih sayang dan sokongan yang saya terima sepanjang perjalanan ini. Tanpa sokongan anda, saya tidak akan berdiri di sini hari ini,” tulisnya.
Dia juga berjanji untuk berusaha ke arah memenuhi impiannya dan ingin menjadi pencetus galakan bagi mereka yang ingin mengejar impian mereka sendiri. – Agensi
Baca juga: