Nasional

Semua aset Aman Palestin dalam tindakan untuk sitaan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengenal pasti aset Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), dipercayai diperolehi hasil penyelewengan RM70 juta dana orang awam.

Sumber berkata, semua aset berkenaan dalam tindakan untuk sitaan.

Katanya, keterangan ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan juga masih belum diambil oleh SPRM.

“Setakat ini, sebanyak 11 saksi sudah dirakam keterangan oleh SPRM,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, kata sumber, sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin Berhad.

“Dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya merupakan akaun membabitkan tujuh individu,” katanya.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Semalam, SPRM mengesahkan membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 sehingga semalam.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penggeledahan turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal mengenalpasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – Berita Harian

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply