Wanita PKR menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada UMNO kerana membantu mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Naib Ketuanya, Datin Faizah Ariffin, berkata disebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Anwar yang juga Presiden PKR kini mampu membuktikan kepemimpinannya dalam pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, katanya, UMNO kini diakui menjadi parti paling karib kepada PKR melalui kerjasama dalam kerajaan, berbanding seteru utama selama lebih 20 tahun sebelum ini.
“Seteru utama BN, hari ini menjadi sahabat kita paling karib… UMNOlah penyebab utama Anwar Ibrahim boleh diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Terima kasih tak kepada UMNO? Kalau bukan kerana UMNO dan BN, kepemimpinan Anwar tidak terbukti, tidak diuji,” katanya pada ucapan penggulungan ucapan dasar Ketua Wanita PKR, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Semalam, genap setahun kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan, sekali gus menyaksikan pelantikan Anwar yang juga Pengerusi PH sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Faizah turut memberikan amaran untuk ‘mencampak’ mana-mana pemimpin wanita dalam PKR yang terbabit rasuah.
Beliau berkata, mana-mana pemimpin yang diangkat dan diberi jawatan selepas PKR dan PH berjaya membentuk kerajaan, perlu menggalas amanah itu dengan baik tanpa terpalit isu rasuah.
“Walaupun kita ada kawan dalam kerajaan, jangan mengemis dengan menteri hendakkan jawatan itu dan ini, sebaliknya kita cipta sendiri peluang itu.
“Banyak peluang boleh dicipta (perniagaan) khususnya melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” katanya. – Berita Harian
Baca juga: