Global

Anwar temui PM Thailand bincang kerjasama dua hala

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan ke Sadao, wilayah Songkhla pada Isnin (hari ini) dan bertemu rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin, bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala antara negara.

Bahagian Asia Tenggara Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan bahawa lawatan ini adalah susulan persetujuan-persetujuan yang dicapai semasa lawatan Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lepas.

Antara perkara utama akan dibincangkan kedua-dua pemimpin ialah berkenaan penubuhan pasukan petugas bersama Malaysia-Thailand untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan projek-projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand.

“Tumpuan utama lawatan Perdana Menteri ke Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand ini adalah untuk melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

“Projek ini dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan trafik di sempadan, seterusnya memudahkan pergerakan penumpang dan barang-barang rentas sempadan,” katanya.

Selain mengadakan lawatan ke bangunan baharu CIQ Sadao, kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan mesyuarat dan sesi plenari sebelum melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao itu merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand, dengan beberapa siri mesyuarat diadakan untuk memuktamadkan spesifikasi teknikalnya.

“Projek berkenaan sangat signifikan bagi lawatan ini kerana kedua-dua pemimpin akan diberi taklimat berhubung kemajuan pelaksanaannya. Pembinaan jajaran jalan ini dijangka menambah baik kesalinghubungan bagi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan CIQ Sadao dan ICQS Bukit Kayu Hitam merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan merupakan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala melalui ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao menjangkau jumlah RM33.67 bilion, sementara kemasukan pelancong warganegara Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 adalah 212,691 orang.

Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu berkepentingan bersama seperti meningkatkan dagangan dua hala, kerjasama di sempadan dan pelancongan pada pertemuan hari ini.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berasingan memaklumkan lawatan berkenaan memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan erat di antara dua negara berjiran, terutamanya dalam pembangunan bersama di sempadan.

Menurutnya Anwar akan diiringi beberapa menteri, timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam lawatannya. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close