Nasional

KKD terbuka wujudkan akta khusus untuk buli siber

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersifat terbuka untuk mewujudkan satu lagi akta khusus bagi menangani kegiatan buli siber yang dilihat semakin serius sehingga mengakibatkan kes bunuh diri di negara ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, buat masa ini kes buli siber merupakan satu jenayah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia, manakala punca kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk kes berkaitan pula di bawah Seksyen 233, Akta SKMM 1998.

Bermula 1 Januari hingga 15 November tahun ini, beliau berkata, SKMM dengan kerjasama pengendali platform media sosial telah menurunkan keseluruhan 1,145 kandungan yang bersifat buli siber, dengan jumlah tertinggi dari Tiktok (804), diikuti Facebook (195), Instagram (9), Youtube (9), X (7), dan lain-lain (123).

“Saya amat bersetuju pandangan Yang Berhormat bahawa buli siber, khasnya melibatkan remaja bukanlah sesuatu isu yang remeh temeh. Jadi saya menerima dengan hati terbuka cadangan bahawa satu akta khusus boleh diwujudkan untuk menangani buli siber.

“Saya akan membawa balik cadangan tersebut, dan berbincang dengan pemegang taruh lain, tengok mana Kementerian yang sesuai untuk membawa akta tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN – Masjid Tanah) yang mahu tahu keperluan untuk mewujudkan akta khusus berkenaan buli siber, selepas laporan antarabangsa menyebut Malaysia di kedudukan kedua rantau Asia Pasifik, dan keenam dunia tentang aktiviti tersebut.

Terdahulu, menjawab soalan asal Mas Ermieyati, Nie Ching berkata, SKMM juga dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan yang terlibat, secara berterusan menjalankan advokasi kepada pengguna melalui pelbagai platform.

Ia termasuk portal Sebenarnya.my, Klik dengan Bijak, hebahan SMS, media sosial, siaran TV dan Radio bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai termasuk golongan warga emas, remaja dan kanak-kanak berkenaan risiko dan modus operandi buli siber.

“Melalui kerjasama dengan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), MCMC telah mengadakan seminar perlindungan kanak-kanak dan remaja dalam talian untuk ahli akademik, pengamal media dan mereka yang berkepentingan.

“SKMM telah bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan di Malaysia iaitu CelcomDigi, UMobile, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan TIME dalam menyediakan kemudahan yang dikenali sebagai Parental ControlTools,” katanya lagi. – Awani

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close