Politik

Ahli Parlimen Bukit Gantang isytihar sokong PM

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyatakan pendirian tersebut ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

“Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri.

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani, menangani kenaikan harga dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, beliau pernah menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Untuk rekod, beliau memohon peruntukan sebanyak RM30 juta melibatkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Selain itu, Syed Abu Hussin juga memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyokong Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahmn, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close