Kelantan FC terus berdepan malang apabila ‘pemain ke 12’ mereka tampaknya seakan melakukan protes apabila tidak hadir menyokong pasukan dalam baki saingan Liga Super musim ini.
Ini berikutan Stadium Sultan Muhammad ke IV (SSMIV) Kota Bharu hampir kosong ketika aksi The Red Warriors (TRW) menentang Kedah Darul Aman (KDA FC), pada Ahad.
Hanya sebahagian penyokong yang masih setia membeli tiket di ruangan astaka manakala tempat duduk terbuka hanya diduduki kurang 10 penonton, manakala selebihnya penyokong pasukan Kedah.
Kehadiran penonton di stadium dianggarkan kira-kira 250 orang.
Tindakan itu sudah dijangka kerana kekecewaan penyokong selepas TRW tewas 20 daripada 24 perlawanan dengan mencatat rekod terburuk bolos 108 gol musim ini.
Selain berdepan prestasi yang teruk, anak buah Angel Alfredo Vera turut berdepan tugas sukar apabila menurunkan pemain muda bagi menghadapi baki dua lagi perlawanan liga super.
Ini berikutan pasukan tidak dapat mendaftar pemain baru dan berkemungkinan turun beraksi di Liga M3.
Malam tadi, Kelantan FC terus kecundang di laman sendiri apabila dijinakkan skuad Kenari 1-6.
Ini menjadikan Kelantan kekal di tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata dengan 20 kekalahan, dua menang dan dua seri musim ini.
Dua lagi baki perlawanan TRW akan bertemu PDRM FC pada 10 Disember dan Kelantan United Football Club (KUFC) pada 17 Disember ini. – Berita Harian
Baca juga: