Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa mancari cara bagi menambah baik sekaligus meningkatkan sistem komunikasi di negara ini.
Terbaharu, KKD menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata sekiranya teknologi itu dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, dasar “di mana ada jalan, di situ ada Internet” dapat dicapai dan dilaksanakan dengan baik.
“MCMC dan KKD meneliti beberapa teknologi yang baharu selain daripada Internet melalui satelit. Ada beberapa teknologi baharu sedang dirangka yang menggunakan satelit sebagai menara komunikasi.
“… dalam tahun-tahun akan datang ini lebih kurang dua tahun lebih, ada beberapa syarikat yang sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi. Jadi ini sedang dalam penelitian,” katanya di Dewan Negara.
Beliau sebelumnya menjawab soalan tambahan Senator Aknan Ehtook yang bertanyakan mengenai kemajuan inisiatif perkongsian rangkaian yang mengambil kira Sarawak sebagai model pelaksanaan.
Selain itu Fahmi berkata MCMC dan syarikat telekomunikasi telah mencapai persetujuan untuk membantu menyelesaikan masalah menara tidak berkuali di Sarawak yang melibatkan 600 menara di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Walaupun usaha itu menelan belanja yang agak besar, ia jelasnya membuktikan bahawa kerjasama antara MCMC dan syarikat telekomunikasi tersebut boleh dicapai.
“Cuma (kerjasama ini) perlu perbincangan dengan dibawa ke meja perundingan sebelum dikeluarkan apa-apa arahan. Jadi ini satu model yang saya harap dapat kita guna di negeri lain,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Baca lagi: