Nasional

Subsidi minyak masak: KPDN sasar 5.8 juta isi rumah B40, M40 dan peniaga mikro

Penstrukturan subsidi minyak masak berpeket, akan disasarkan kepada sekitar 5.8 juta isi rumah, terdiri daripada golongan B40, dan sebahagian daripada M40, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Selain itu, beliau berkata, langkah KPDN ke hadapan adalah untuk memastikan sekitar 91,860 peniaga mikro turut layak mendapat subsidi tersebut, supaya bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Ketika ini, Fuziah berkata, KPDN bertanggungjawab untuk menguruskan pengeluaran 60,000 tan metrik (TM) minyak masak bersubsidi atau 60 juta kilogram (kg) minyak masak dalam kemasan polibeg 1 kg setiap satu.

“Jumlah sebenar pengeluaran minyak masak paket bersubsidi bergantung kepada prestasi syarikat pembungkus yang berjumlah 361 syarikat di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

“Pada tahun ini prestasi pengeluaran adalah pada tahap maksimum setiap bulan. Secara amnya, KPDN mengunjurkan pengeluaran minyak masak paket subsidi pukal ini mencukupi untuk kegunaan dianggarkan sebanyak 5.8 juta isi rumah, dari kumpulan B40 termasuk sebahagian dari kumpulan M40,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa), yang mahu mengetahui jumlah minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan oleh Kementerian pada setiap bulan, serta jumlah agihan kepada golongan isi rumah B40 dan peniaga mikro.

Dalam pada itu, Johari, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan sistem pindahan tunai untuk tujuan penyaluran subsidi kepada golongan yang layak, bagi meminimakan ketirisan.

Menjawab pandangan tersebut, Fuziah berkata, sistem pindahan tunai dilihat antara mekanisme terbaik bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan yang tepat.

“Kementerian melihat golongan yang wajar terima subsidi ialah B40, dan sebahagian daripada M40, kerana M40 juga memerlukannya, tetapi bukan semua. Dan kita anggar 5.8 juta isi rumah layak terima subsidi ini nanti, bila kita sasarkannya. Sebelum ini bila subsidi pukal, kita tak sasar peniaga mikro.

“Insya-Allah bila tambah baik, data kita terima dari PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) nanti, kita akan ada satu kedudukan di mana kita boleh melaksanakan penyasaran subsidi minyak masak. Saya setuju ada ketirisan, dan cash transfer cara terbaik, cuma mekanisme belum tuntas,” katanya lagi. – Awani

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close