Negeri

2 ditahan dipercayai ibu bapa empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal

Polis menahan dua individu dipercayai ibu bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah dekat Kampung Gajah, 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, berkata kedua-dua individu itu ditahan dalam tangkapan yang berasingan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

“Polis menahan lelaki terbabit pada Isnin lepas serta merampas sebuah motosikal Modenas Kriss berwarna biru serta pakaian yang digunakan lelaki itu semasa kejadian.

“Polis juga turut menahan seorang wanita semalam dan merampas sebuah telefon bimbit. Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Hafezul Helmi berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 33 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Lapor Bernama, siasatan berkenaan kejadian itu masih dijalankan dan orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih yang boleh menggusarkan masyarakat setempat.

Pada Jumaat lalu, Hafezul Helmi berkata pihaknya menerima maklumat melalui pegawai JKM daerah jam 5.39 petang pada 23 November berhubung kejadian empat beradik termasuk seorang bayi dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal kompleks berkenaan.

Ketika ditinggalkan jam 10.50 pagi, ada dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun.

Hafezul Helmi berkata berdasarkan keterangan, adik-beradik malang itu dipercayai ditinggalkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota. 

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close