Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menuntut ganti rugi berjumlah RM56.7 juta daripada syarikat pelaburan strategik itu.
Melalui tuntutan balas difailkan pada 17 November lalu oleh Tetuan Sanjay Mohan, Arul Kanda menuntut antaranya 1MDB membayar ganti rugi khas berjumlah RM54 juta, kehilangan pendapatan RM202,600 dan bonus berjumlah RM2.5 juta mengikut Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.
Menurut laporan Harian Metro, beliau memfailkan tuntutan balas berkenaan selepas mendakwa Perjanjian Pelanjutan Kerjanya dibatalkan secara salah.
Arul Kanda mendakwa, kontrak pekerjaannya tamat pada 31 Disember 2017, namun selepas perbincangan, Lembaga Pengarah 1MDB bersetuju melanjutkan kontraknya dan perjanjian baharu ditandatangani pada 23 Februari 2018.
Beliau mendakwa, mengikut perjanjian itu, 1MDB antara lainnya bersetuju melanjutkan kontraknya sehingga 30 Jun 2018 dan akan dibayar bonus ex-gratia sebanyak RM5 juta, bagaimanapun RM2.5 juta masih belum dibayar.
Dakwanya lagi, 1MDB juga bersetuju membayar gaji sebanyak RM101,300 sebulan sehingga kontrak kerja baharunya tamat, yang mana gaji bagi bulan Januari hingga April 2018 berjumlah RM405,200 sudah dibayar.
Bagaimanapun, Arul Kanda berkata, Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng mengeluarkan beberapa kenyataan yang antara lainnya menyatakan beliau tidak jujur dan tidak boleh dipercayai, disiarkan portal berita The Edge bertarikh 24 Mei 2018.
Susulan kenyataan itu, katanya, 1MDB menamatkan perjanjian tanpa sebarang asas dan secara salah serta tiada siasatan bagi menunjukkan beliau bertindak bertentangan kepentingan syarikat.
Arul Kanda mendakwa, beliau juga tidak pernah diberikan notis atau peluang untuk membela diri sebelum ditamatkan kontrak dan menyatakan penamatan perjanjian dilakukan atas arahan Guan Eng secara niat jahat (mala fide).
Dakwanya lagi, penamatan perjanjian dibuat oleh 1MDB bagi mengelak daripada membayar gaji bulan Mei dan Jun 2018 serta baki bonus ex-gratia.
Menurutnya, malah 1MDB membuat beberapa tuduhan terhadapnya sedangkan beliau tidak terbabit dengan mana-mana transaksi yang berlaku sebelum dilantik memegang jawatan dalam syarikat berkenaan.
Selain itu, katanya, tindakan 1MDB menggunakan proses undang-undang melalui tuntutan sivil dan jenayah merosakkan reputasi dan menyebabkannya tidak dapat mencari pekerjaan alternatif.
Pada Mei 2021, Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar disaman syarikat terbabit berhubung dakwaan melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion.
Baca juga: