Negeri

CAP gesa tubuh suruhanjaya siasatan runtuhan gudang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan segera bagi menyiasat punca kejadian runtuhan gudang logistik sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Selasa.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, CAP juga menggesa agar pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa manakala dua lagi cedera parah.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKPP) digesa untuk menyiasat dengan menyeluruh insiden yang berlaku itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab dengan kemalangan tersebut.

“Memandangkan tempat kejadian itu berdekatan dengan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil, sebarang struktur dibina di kawasan itu perlu dipastikan benar-benar selamat dengan mengambil kira semua langkah keselamatan terutamanya kajian geologi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam itu, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

Sebelum kejadian, 18 pekerja warga asing sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat. Bagaimanapun, empat pekerja yang dikatakan tertimbus sebenarnya masih hidup selepas melarikan diri kerana ketakutan.

Mohideen berkata dalam dua kes utama di Pulau Pinang sebelum ini iaitu perancah runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di bangunan setinggi 21 tingkat, Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang mendapati berlaku ketidakcekapan dan kecuaian.

“Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian? Sekiranya ia berlaku disebabkan oleh kecuaian, maka siapakah patut dipersalahkan?

“Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri? Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta berterusan akan menjadikan pihak bertanggungjawab dalam industri pembinaan serta pihak berkuasa berkaitan lebih mematuhi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu perlu diberi perhatian kerana melibatkan banyak pihak selain melibatkan nyawa pekerja.

Menurutnya pihak berkuasa berkaitan juga perlu menguatkuasakan undang-undang secara tegas dan berterusan bagi memastikan semua langkah keselamatan di tapak pembinaan telah dipatuhi serta langkah berjaga-jaga perlu diambil berat apabila bekerja dalam situasi bahaya.

“Tindakan tegas boleh memberikan mesej kepada syarikat pembinaan bahawa undang-undang perlu dipatuhi setiap masa dan pemilik premis perlu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close