Nasional

Johor tubuh pusat pemulihan LGBT

Kerajaan Johor akan menubuhkan pusat pemulihan bagi menangani isu akidah terpesong serta individu yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata, pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT itu adalah pertama kali diwujudkan di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi mewujudkan pusat pemulihan yang dijangka beroperasi pada Julai, tahun depan.

“Pusat pemulihan ini bukan sahaja diwujudkan bagi mereka yang terpesong akidahnya tetapi juga menempatkan golongan individu yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT, yang disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah, Enakmen 26-Musahaqah, supaya kembali ke fitrah asal dan bertaubat.

“Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini adalah pertama diwujudkan di negara kita.

“Tujuan penubuhan pusat pemulihan ini bukan sahaja bagi membimbing dan memulihkan golongan yang ingin bertaubat malah sebagai platform memupuk kesedaran kembali ke jalan yang benar.

“Ketika ini pusat pemulihan ini sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal di bahagian pejabat, asrama pelatih lelaki dan perempuan,” katanya ketika sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, Johor pada Rabu.

Mohd Fared (BN-Semerah) sebelum itu menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) berhubung jumlah saudara baharu sejak 2020 sehingga dan rancangan dakwah kepada mereka dan umat Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, sebanyak RM15 juta setahun diperuntukkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dakwah serta kebajikan.

“Seramai 2,845 individu telah berdaftar memeluk agama Islam sejak 2020 sehingga November tahun ini.

“Pecahan membabitkan seramai 728 orang bagi tahun 2020; 688 orang (2021); 796 orang (2022) dan 633 orang sehingga November tahun ini.

“Saudara baharu kita yang berdaftar di negeri Johor terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum antaranya Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli serta warganegara asing dari Filipina dan Vietnam,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close