Kakitangan awam Perak dapat bonus 2 bulan gaji

Kerajaan negeri Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini dalam Belanjawan Negeri Perak 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BKK tersebut juga akan turut dinikmati Exco kerajaan negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

“Kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi jasa dan komitmen penjawat awam sebagai tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran kerajaan.

“Sebagai menghargai dedikasi tidak berbelah bahagi dalam memikul tugas yang diamanahkan, saya dengan ini mengumumkan pemberian BKK pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurutnya, BKK tersebut turut dipanjangkan kepada semua ketua kampung bagi lantikan sebelum 15 Disember 2023 pada kadar RM400 seorang.

Beliau berkata, bayaran penuh BKK tersebut akan dibuat pada 20 Disember ini.

Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah negeri itu.

Mengekalkan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera peruntukan belanjawan tersebut meningkat berbanding tahun lalu hanya RM1.19 bilion.

Peruntukan belanjawan kali ini meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta manakala perbelanjaan pembangunan RM491 juta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat