Nasional

STPM diiktiraf lebih 2,000 universiti seluruh dunia – Fadhlina

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan sahaja diterima di semua universiti awam Malaysia, tetapi turut diiktiraf di lebih 2,000 universiti seluruh dunia, tegas Menteri Pendidikan.

Fadhlina Sidek ketika bercakap kepada pelajar pada program Bual Bicara Profesionalisme bersama pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Terengganu pada Khamis berkata, dengan pengiktirafan itu membuktikan pendidikan Tingkatan Enam bukan program akademik kelas kedua.

Ia jelasnya setanding piawaian antarabangsa antara lain seperti Cambridge Assessment International Education.

“Ini saya nak beritahu anak-anak, kalau ada orang beritahu anak-anak tingkatan enam ini kelas kedua, tak layak masuk universiti, suruh dia jumpa Menteri Pendidikan… sebab ketika ini kita sedang angkat tingkatan enam ini untuk memastikan ia benar-benar jadi pilihan bagi yang mahukan pendidikan lebih berkualiti.

“STPM ini peperiksaan paling susah dalam negara, jadi memang kita nak angkat tingkatan enam ini (ke peringkat lebih tinggi),” katanya.

Fadhlina sementara itu turut memuji pencapaian cemerlang pelajar STPM Terengganu.

“Yang ini negeri lain tak boleh cabar Terengganu, macam mana boleh cemerlang lapan tahun berturut-turut dan ini mesti diraikan dan dijual kepada awam bahawa Terengganu memiliki pendidikan yang unggul dan menyeluruh bukan di Kemaman sahaja,” katanya.

Difahamkan pencapaian STPM di negeri itu mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 pada 2022, selain pencapaian semua A penuh meningkat daripada 64 kepada 112 orang, tahun lepas.

Baca lagi:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close