Politik

MP Kuala Kangsar dedah sudah terima peruntukan lepas sokong PM

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mendedahkan sudah menerima peruntukan daripada kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan, wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, dana yang diterima boleh digunakan bagi membiayai program kebajikan rakyat di kawasan.

“Saya baru terima peruntukan awal, belum dapat yang besar lagi (RM300,000), baru sikit-sikit sahaja.

“Amaun itu tak perlulah saya dedahkan, jika ada yang nak tahu boleh semak daripada ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan).

“Alhamdulillah, apa yang ada ini saya dapat bantu meringankan beban penduduk Kuala Kangsar lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui dalam program penyerahan sumbangan ikan dan sayur di Dewan Terbuka Kampung Senggang Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu.

Dalam program itu, sebanyak 1 tan ikan segar dan 1 tan sayur diedarkan kepada lebih 1,000 penduduk dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsar.

Iskandar Dzulkarnain turut memberi jaminan, perancangan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan berikutan tidak menerima peruntukan kerajaan, akan diteruskan tahun hadapan.

Katanya, ini termasuklah program pembangunan ekonomi rakyat, meningkatkan kemudahan infrastruktur, bantuan kebajikan bagi mereka yang mengalami sakit kronik serta dana pendidikan.

“Saya harap penduduk Kuala Kangsar bekerjasama dengan saya.

“Peruntukan yang diberikan PMX (Perdana Menteri ke-10) kepada saya, ingin saya menyerahkan kembali untuk kegembiraan rakyat di sini,” katanya lapor Sinar Harian.

Mengulas desakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar mengosongkan kerusi disandang, beliau berkata, perkara itu tidak sewajarnya dibangkitkan.

Jelasnya, perkara lebih penting adalah peranan seorang ahli Parlimen yang dipilih dapat melaksanakan tanggungjawabnya membantu rakyat.

“Biarlah dia buat kenyataan itu sebagai Timbalan Presiden Bersatu, baik saya bantu rakyat yang memerlukan pertolongan saya sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Selain Iskandar Dzulkarnain, empat wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ialah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close